Latest Updates

-Pembahasan Makna Tangisan, Pada Kitab Qut Al qulub oleh Imam Abi Talib Al Makkiy -

Guru Mulia Al-Habib Umar Bin Hafidz:

Setiap orang yang menangis kerana Allah dan kerana takut serta cintakan Allah atau kerana rindu kepadanya, atau kerana menahan dirinya daripada sebarang keinginan nafsunya maka tangisannya itu akan menyelamatkannya pada hari kiamat.
Maka ia tidak menangis (pada hari itu) kerana dikatakan kepadanya bahawa engkau telah menangis dulu di dunia kerana kami (Allah). Maka kami (Allah) tidak akan membiarkan kamu menangis pada hari ini iaitu hari yang sangat kuat tangisan kebanyakan manusia dan " Setiap mata menangis pada hari kiamat melainkan mata yang menahan daripada melihat apa yang diharamkan oleh Allah dan mata yang berjaga malam di jalan Allah dan mata yang kuat menangis kerana takutkan Allah.
Maka inilah tiga jenis mata yang tidak akan menangis pada hari kiamat. Adapun yang lain daripada itu semuanya akan menangis pada hari kiamat akan tetapi sesungguhnya tangisan pada hari kiamat tidak memberi faedah. Dan tidak memberi manfaat sesuatu pun daripada tuannya dan tidak mengangkat darjat mereka dan tidak menghapuskan dosa mereka.
Tangisan didunia memberi faedah iaitu menghapuskan dosa, mengangkat darjat, mendekatkan diri kepada Allah dan menambahkan keimanan. Ini didunia! Akan tetapi tangisan selepas itu (pada hari kiamat) adalah tangisan yang banyak ( berbanding tangisan didunia) sedangkan ia tidak menambahkan keimanan, tidak mengangkat darjat dan tidak menghapuskan satu pun daripada dosa-dosa. "Lalu mereka mengaku daripada dosa-dosa mereka maka kebinasaanlah untuk penghuni neraka sa'ir"
Akan tetapi di dunia orang yang mengakui dosanya maka Allah akan menerima pengakuannya, dan diberi kemaafan kepadanya, dan diampunkan dosanya. Adapun sesudah itu (hari kiamat) semua orang mengakui dosanya akan tetapi pengakuan dan tangisannya tidak memberi manfaat. "Berikanlah peringatan kepada mereka tentang hari penyesalan dimana pada hari itu diputuskan segala perkara sedangkan mereka dalam keadaan lalai dan mereka tidak beriman(tidak percaya).
Sehingga terdapat didalam hadis bahawa kebanyakan tangisan itu daripada ahli neraka, andaikata ada kapal nescaya ia dapat berlayar diatas lautan air mata yang keluar dari mata-mata mereka.
Dan diantara mereka ada yang ketika menangis mengalirkan setitis air mata yang mana ia adalah darah kerana terlalu menyesal dan demikian itu tidak berfaedah (tidak bermanfaat)
Adapun didunia air mata yang keluar sebesar kepala lalat kerana takutkan Allah lebih besar nilainya daripada sebukit emas yang disedekahkan. Dan sesungguhnya setitis air mata kerana takutkan Allah dapat memadamkan api neraka bagi orang yang banyak dosanya. Ini setitik air mata kerana takutkan Allah didunia! Maka bagaimana setitik air mata kerana cintakan Allah dan rindu kepadanya? Kerana disana ada tangisan kerana takut, cinta dan rindu kepada Allah, maka setitis air mata rindu dan cinta kepada Allah itu lebih mahal daripada setitis air mata kerana takut kepadaNya.
Maka tidak diberkati mata yang mengalirkan air mata dengan sebab yang tiada faedah atau sengsara atau nikmat. Maka janganlah kamu menangis kecuali di atas apa yang ditangisi oleh nabi, dan apa yang ditangisi oleh orang yang soleh selepas baginda, iaitu tangisan terhadap alam kubur, hari kebangkitan dan sesuatu yang besar dan takut akan Allah apabila mendengar Al quran atau nasihat yang dilantunkan.
Maka Allah telah menyebutkan kepada kita akan tangisan yang menjadi dasar kepada makrifat iaitu pengenalan kepada Allah di mana ia tidak berlaku melainkan dengan mahabbah dan kerinduan. " dan apabila mereka mendengar apa yang diturunkan kepada Rasul nescaya kamu akan melihat mata mereka digenangi dengan air mata dengan sebab apa yang mereka ketahui..."
Mereka menangis dengan sebab apa yang mereka ketahui iaitu rahsia kecintaan dan dari apa yang mereka ketahui tentang tuhan yang maha benar. Dan jika kita mengetahui nescaya kita faham bahawa di sana tiada sesuatu yang lebih berhak untuk ditangisi kerana takutkannya dan cintakannya selain drpd Allah.
Oleh kerana kurangnya faham dan kenal akan Allah maka jadilah tangisan itu kerana takutkan yang lain dari Allah dan kerana cinta kepada yang lain dari-Nya. Akan tetapi sesiapa yang mengenal Allah nescaya ia tahu bahawa Dialah yang berhak untuk ditangisi kerana takutkan-Nya; dan ditangisi kerana ingin dekat kepada-Nya dan mendapat redha-Nya, serta mengenali-Nya.
Ya Allah, kurniakanlah kepada kami bahagian daripada pengenalan terhadap-Nya, kecintaaan yang tulus lagi khusus kepada-Mu dengan rahmat-Mu wahai Tuhan yang maha pengurnia rahmat.

0 Response to "-Pembahasan Makna Tangisan, Pada Kitab Qut Al qulub oleh Imam Abi Talib Al Makkiy -"

Post a Comment

X-Steel - Wait